Soalan Lazim
Bagaimana Kami Boleh Membantu Anda?
Maklumat Am
Apakah itu Projek Transit Rel Ringan Laluan Mutiara Pulau Pinang (PML)?
- Projek Transit Aliran Ringan Laluan Mutiara (PML) merupakan sistem metro bersepadu pertama di utara Semenanjung Malaysia.
- Ia merupakan komponen utama dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi beberapa laluan sistem metro.
- Laluan Mutiara merupakan jajaran pertama yang akan dibina sebagai tulang belakang kepada keseluruhan pelan pengangkutan negeri. Koridor Laluan Mutiara (MTL) merangkumi jajaran asas yang bermula di Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) dan mempunyai dua jajaran alternatif:
– Satu jajaran yang berakhir di Penang Sentral, dan satu lagi yang berakhir di George Town (Stesen Komtar).
Kedua-dua jajaran ini berkongsi laluan yang sama dari PSR-A hingga ke Stesen Macallum, dengan perkhidmatan tren dijadualkan secara berselang-seli. Penggabungan kedua-dua perkhidmatan ini pada laluan yang sama akan membolehkan jarak masa ketibaan tren (headway) antara dua stesen tersebut menjadi lebih singkat. - Sambungan jajaran hingga ke Penang Sentral akan menjadikan Penang Sentral sebagai hab pengangkutan pelbagai mod utama, yang mengintegrasikan perkhidmatan tren metro, bas, terminal feri, perkhidmatan ETS, KTM Komuter serta mod pengangkutan lain di bawah satu pusat transit.
Maklumat Am
Mengapa Projek PML penting?
- Projek PML memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan utama di Pulau Pinang — merangkumi kawasan perumahan, perindustrian, komersial serta destinasi pelancongan.
- Jajaran ini akan menghubungkan lokasi-lokasi penting seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ), Pusat Bandar George Town, Penang Sentral dan kawasan berpenduduk padat di sepanjang laluan.
- Selain meningkatkan kesalinghubungan, projek ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, membantu perniagaan tempatan dan merancakkan sektor industri — terutamanya yang berkaitan dengan Sistem Binaan Berindustri (IBS), penyelenggaraan dan operasi.
- Pelaksanaan PML dijangka memberi impak positif terhadap ekonomi negeri, memperkukuh sektor pelancongan dan perniagaan, serta meningkatkan taraf hidup rakyat Pulau Pinang.
Maklumat Am
Apakah manfaat projek PML kepada komuniti setempat?
- Menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien, selamat, berpatutan dan lebih mesra alam.
- Memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa dengan masa perjalanan yang lebih singkat.
- Mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan pelepasan karbon.
- Meningkatkan produktiviti serta memberi lebih banyak masa berkualiti kepada pengguna.
- Menyumbang ke arah Pulau Pinang yang lebih bersih dan hijau dengan jejak karbon yang lebih rendah.
- Menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang, bermula daripada fasa pembinaan hingga ke operasi.
Maklumat Am
Siapakah pihak-pihak yang terlibat dalam projek PML?
- Projek PML pada asalnya dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), dan sebelum ini dikenali sebagai Projek LRT Bayan Lepas.
- Pada awal tahun 2024, Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih pelaksanaan projek ini dan MRT Corp telah dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset. MRT Corp dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.).
Maklumat Am
Apakah peranan MRT Corp dalam Projek PML?
- Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah dilantik oleh Kerajaan sebagai pemaju projek dan pemilik aset bagi Projek PML Pulau Pinang.
Maklumat Am
Kementerian atau agensi kerajaan manakah yang menyelia Projek PML?
- Kementerian Pengangkutan akan menyelia projek ini bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
- APAD merupakan agensi kawal selia yang memantau sektor pengangkutan awam di Malaysia, termasuk Projek PML Laluan Mutiara.
Maklumat Am
Berapakah jumlah pakej tender bagi Projek PML?
4 pakej:
- Kontrak Utama Sivil 1 (CMC 1): Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) ke KOMTAR
- Kontrak Utama Sivil 2 (CMC 2): Macallum ke Penang Sentral
- Kontrak Utama Sivil 3 (CMC 3): Pembangunan Berorientasikan Transit
- Kontraktor Sistem Secara Serah Kunci (STC)
Maklumat Am
Bilakah latihan tender akan dimulakan? Mengapakah tiada maklumat atau iklan mengenainya?
- Proses tender sedang dijalankan secara berperingkat.
- Sebarang maklumat terkini mengenai proses tender akan dimaklumkan melalui laman sesawang rasmi MRT Corp di [www.mymrt.com.my](http://www.mymrt.com.my) dan platform media sosial rasmi MRT Corp.
- Tender bagi CMC 1 telah dianugerahkan pada Januari 2025, manakala Notis Untuk Mula (NTP) telah diberikan pada Julai 2025.
- Tender bagi CMC 2 dijangka akan dilaksanakan pada Oktober 2025.
- Tender bagi CMC 3 masih akan dimaklumkan (TBD).
- Tender bagi STC dijangka akan dilaksanakan pada Oktober 2025.
Maklumat Am
Apakah status semasa Projek PML?
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan projek ini pada Mac 2024.
- MRT Corp kini sedang menjalankan kajian EIA (Environmental Impact Assessment / Penilaian Impak Alam Sekitar) dan SIA (Social Impact Assessment / Penilaian Impak Sosial) bagi laluan Macallum ke Penang Sentral.
- Reka bentuk terperinci sedang dimuktamadkan (untuk CMC 1).
- Kerja fizikal telah bermula pada 2025.
- Maklumat terkini mengenai status semasa Projek PML boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MRT Mutiara Line.
Maklumat Am
Adakah jajaran PML berbeza daripada jajaran LRT Bayan Lepas (BLLRT) yang dicadangkan pada tahun 2019?
Kedua-dua jajaran ini pada asasnya adalah serupa, menghubungkan Komtar dan PSR-A. Namun, perbezaan utamanya ialah:
- Jajaran BLLRT mempunyai panjang 29.9km dengan 27 stesen, termasuk stesen yang dirancang di Pulau A.
- Jumlah panjang jejambat PML ialah 29.67km dengan 22 stesen, termasuk stesen di Pulau Silikon (Pulau A) serta sambungan dari Macallum ke Penang Sentral.
Maklumat Am
Berapakah kos Projek PML?
Kos keseluruhan projek hanya dapat dimuktamadkan selepas semua proses tender selesai dijalankan.
Maklumat Am
Dengan sambungan jajaran dari pulau ke tanah besar, berapakah anggaran kos projek?
Kos bagi sambungan tersebut hanya dapat dimuktamadkan selepas semua proses tender selesai dijalankan.
Projek / Informasi Teknikal
Berapakah panjang jajaran dan jumlah stesen?
- Panjang keseluruhan jejambat Laluan Mutiara ialah 29.67 km dengan 22 stesen, serta 2 stesen sementara (PSR & Jalan Bagan Luar).
- Saiz setiap stesen ditentukan berdasarkan jenis dan lokasinya.
- Akan terdapat jejambat bertingkat merentasi laut yang menghubungkan Macallum ke Penang Sentral.
- Jarak antara PSR-A (Pulau Silikon) dan Komtar ialah kira-kira 23.67 km.
- Jarak antara PSR-A (Pulau Silikon) dan Penang Sentral ialah kira-kira 29.67 km.
- Jarak antara Macallum dan Penang Sentral ialah 6 km, manakala panjang jejambat marin (dari pantai ke pantai) ialah 3.05 km.
- Jarak antara Macallum dan Komtar ialah 0.79 km.
Projek / Informasi Teknikal
Adakah jajaran akan dibina di bawah tanah atau di atas tanah?
Laluan akan sepenuhnya bertingkat (untuk segmen 1) dan merentasi laut (untuk segmen 2), kira-kira 60 meter di atas pasang tertinggi astronomi (HAT).
Projek / Informasi Teknikal
Berapa lama masa yang diambil untuk melengkapkan perjalanan dari hujung ke hujung?
- Perjalanan sehala dari PSR-A (Pulau Silikon) ke Komtar akan mengambil masa kira-kira 45 minit.
- Perjalanan sehala dari PSR-A (Pulau Silikon) ke Penang Sentral akan mengambil masa kira-kira 49 minit.
- Perjalanan dari Komtar ke Penang Sentral atau sebaliknya, yang memerlukan pertukaran laluan di Stesen Macallum, akan mengambil masa antara kira-kira 8 hingga 13 minit, bergantung pada kekerapan (headway) tren semasa operasi.
- Dari Macallum, perjalanan mengambil masa kira-kira 1 minit untuk sampai ke Komtar dan kira-kira 7 minit untuk sampai ke Penang Sentral.
Projek / Informasi Teknikal
Berapakah anggaran jumlah penumpang apabila ia mula beroperasi pada masa hadapan?
Anggaran jumlah penumpang ialah 45,600 orang sehari pada tahun pertama operasi.
Projek / Informasi Teknikal
Apakah kriteria pemilihan lokasi stesen?
Dalam menentukan lokasi stesen metro, beberapa faktor penting diambil kira:
- Kegunaan tanah: Melibatkan pertimbangan terhadap kawasan kediaman, tempat kerja, pusat beli-belah, stadium dan ruang yang sesuai untuk pembinaan. Turut diambil kira ialah cabaran seperti kedudukan lebuh raya berdekatan atau keperluan pengambilan tanah.
- Sambungan laluan: Menilai lokasi yang strategik bagi pertukaran antara laluan serta jarak yang sesuai antara stesen di sepanjang jajaran.
- Reka bentuk kejuruteraan: Memastikan landasan dan stesen dapat dibina dengan selamat dan berkesan, termasuk menilai keadaan tanah, struktur bawah tanah dan kos pembinaan.
- Kesan terhadap komuniti: Mengambil kira aspek seperti tahap kebisingan, kemudahan akses penduduk sekitar ke stesen, serta manfaat yang akan diberikan stesen tersebut kepada kawasan kejiranan.
Projek / Informasi Teknikal
Adakah kemudahan Park & Ride akan disediakan untuk orang awam?
- Ya. Lebih daripada 1,000 petak letak kereta dan lebih daripada 1,000 petak letak motosikal akan disediakan di stesen-stesen terpilih sepanjang jajaran.
Projek / Informasi Teknikal
Bagaimanakah laluan ini akan disambungkan dengan sistem rel lain?
- Stesen Penang Sentral akan disambungkan kepada rangkaian ETS dan KTM Komuter.
- Stesen Komtar pula dirancang sebagai sambungan masa hadapan ke Tanjung Bungah dan Ayer Itam.
Projek / Informasi Teknikal
Adakah stesen PML mudah diakses oleh orang awam?
- Ya, pemilihan lokasi dan stesen dibuat berdasarkan tahap kemudahan capaian orang ramai. Kajian turut mengambil kira jarak dengan kawasan pejalan kaki, hentian bas, teksi serta laluan bagi pengguna kenderaan persendirian.
Projek / Informasi Teknikal
Di manakah lokasi depot?
- Keseluruhan rangkaian akan disokong oleh satu kawasan simpanan tren (stabling yard) yang dirancang di Tapak Pesta dan satu depot yang akan dibina di Pulau Silikon.
Projek / Informasi Teknikal
Adakah stesen PML mesra orang kurang upaya (OKU)?
Ya, stesen-stesen Laluan Mutiara LRT direka bentuk agar mudah diakses dan mesra pengguna untuk semua, termasuk golongan orang kurang upaya. Ciri-ciri utama termasuk:
- Jubin taktil khas bagi memandu pengguna orang kurang upaya penglihatan (OKU Penglihatan) bergerak dengan selamat di sekitar stesen.
- Tandas yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna OKU.
- Laluan landai (ramp) bagi memudahkan pergerakan antara kawasan stesen.
- Kaunter tiket pada ketinggian yang sesuai untuk pengguna kerusi roda.
- Petak letak kenderaan khas bagi pemandu dan penumpang OKU.
- Lif yang dilengkapi dengan kemudahan akses OKU.
- Pintu masuk luas bagi membolehkan laluan kerusi roda dan alat bantuan mobiliti lain.
Projek / Informasi Teknikal
Berapakah ketinggian jajaran bertingkat (elevated alignment)?
- Ketinggian jajaran bertingkat akan berada antara 10 hingga 20 meter bergantung kepada lokasi.
Projek / Informasi Teknikal
Terdapat banyak bangunan atau struktur bersejarah di sepanjang jajaran. Bagaimanakah pihak anda memastikan struktur-struktur ini tidak terjejas?
- Tiada bangunan atau struktur bersejarah yang akan terjejas di sepanjang jajaran tersebut.
- Laporan Penilaian Impak Warisan (Heritage Impact Assessment, HIA) telah diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) pada tahun 2020.
- Nasihat pakar warisan akan diperoleh bagi memastikan pematuhan terhadap saranan dalam laporan tersebut untuk meminimumkan sebarang kesan.
- Laporan HIA bagi jajaran dari Macallum ke Penang Sentral akan dikemukakan kepada JWN Pulau Pinang pada suku pertama tahun 2025.
Projek / Informasi Teknikal
Apakah status Laporan Penilaian Impak Sosial (Sosial Impact Assessment, SIA)?
- Laporan SIA bagi Projek PMLdari PSR-A ke KOMTAR telah diluluskan oleh PLANMalaysia pada tahun 2020. Laporan SIA bagi jajaran dari Macallum ke Penang Sentral akan dikemukakan kepada PLANMalaysia Pulau Pinang pada suku pertama tahun 2025.
Pembinaan
Apakah tempoh kerja pembinaan PML akan bermula dan selesai?
- Proses pengambilan tanah sedang dijalankan (sehingga Ogos 2025) dan dijangka akan diteruskan sehingga awal tahun 2026.
- Kerja-kerja pembinaan (bagi Segmen 1) akan bermula pada Oktober 2025, merangkumi kerja-kerja pembersihan tapak, pemindahan utiliti, dan pelebaran jalan.
- Projek Laluan Mutiara dijangka siap pada Disember 2031.
Pembinaan
Apakah waktu kerja pembinaan? Adakah aktiviti pembinaan akan dijalankan pada waktu malam?
Kerja-kerja pembinaan akan dijalankan pada waktu bekerja biasa, iaitu dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam.
Bagi aktiviti yang bersifat kritikal, kerja pada waktu malam akan dijalankan dengan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Pembinaan
Apakah tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat keretakan atau kerosakan pada harta saya yang terletak berhampiran tapak pembinaan?
- Sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan, pemeriksaan keadaan bangunan pra-pembinaan akan dijalankan oleh juruukur bebas bagi semua bangunan yang berada dalam zon kerja pembinaan.
- Pemeriksaan ini (tertakluk kepada kebenaran pemilik bangunan) melibatkan pemeriksaan dalaman dan luaran untuk merekodkan keadaan sedia ada bangunan tersebut.
- Laporan pemeriksaan pra-pembinaan ini akan dijadikan rujukan asas sekiranya terdapat aduan atau permohonan pembaikan kerosakan yang didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembinaan.
Pembinaan
Adakah saya akan diberikan salinan laporan pemeriksaan keadaan bangunan pra-pembinaan?
- Ya, MRT Corp menitikberatkan ketelusan dan akan mengeluarkan salinan laporan tersebut kepada pihak berkepentingan yang berkenaan setelah permohonan dibuat secara rasmi secara bertulis.
Pembinaan
Apakah langkah mitigasi yang diambil bagi memastikan gangguan terhadap kemudahan awam seperti bekalan air dan elektrik dapat diminimumkan semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan?
- Kerja-kerja pemetaan dan pengesanan utiliti akan dijalankan sebelum kerja pembinaan sebenar dimulakan.
- Kontraktor akan merancang aktiviti pembinaan dan pemindahan utiliti (jika diperlukan) berdasarkan maklumat terkini daripada pemetaan utiliti tersebut.
- Orang awam akan dimaklumkan lebih awal sekiranya terdapat gangguan utiliti yang dijangka atau dirancang, bagi membolehkan mereka membuat persediaan awal.
- Orang awam akan diberitahu sekurang-kurangnya lima (5) hari lebih awal sebelum sebarang kerja pembinaan yang berpotensi menjejaskan sistem utiliti dijalankan.
Keselamatan Alam Sekitar dan Awam
Apakah status Laporan EIA?
- Waktu kerja pembinaan akan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
- Terdapat keadaan tertentu di mana kerja-kerja dijalankan melebihi waktu 7.00 malam, bergantung kepada jenis kerja pembinaan yang tidak menghasilkan bunyi bising yang ketara.
- Sesetengah aktiviti juga perlu dijalankan pada waktu malam demi keselamatan orang awam.
- Sebagai contoh, kerja-kerja berisiko tinggi seperti pengangkatan Segmenal Box Girder (SBG) dilaksanakan selepas waktu puncak lalu lintas atas faktor keselamatan.
Keselamatan Alam Sekitar dan Awam
Apakah waktu kerja pembinaan bagi projek PML? Adakah kerja-kerja pembinaan akan dijalankan pada waktu malam?
- Waktu kerja pembinaan akan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.
- Terdapat keadaan tertentu di mana kerja-kerja dijalankan melebihi waktu 7.00 malam, bergantung kepada jenis kerja pembinaan yang tidak menghasilkan bunyi bising yang ketara.
- Sesetengah aktiviti juga perlu dijalankan pada waktu malam demi keselamatan orang awam.
- Sebagai contoh, kerja-kerja berisiko tinggi seperti pengangkatan Segmenal Box Girder (SBG) dilaksanakan selepas waktu puncak lalu lintas atas faktor keselamatan.
Keselamatan Alam Sekitar dan Awam
Pembinaan PML akan menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat penutupan lorong atau jalan, serta kerosakan jalan disebabkan oleh kenderaan pembinaan berat yang turut menyukarkan pengguna jalan raya. Bagaimanakah MRT Corp dan kontraktor akan menangani masalah ini?
- Penutupan jalan dilakukan bagi tujuan keselamatan awam.
- Penilaian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment, TIA) akan dijalankan oleh perunding trafik sebelum sebarang penutupan jalan dilaksanakan.
- Laluan lencongan atau laluan alternatif akan dikenal pasti dan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kelulusan.
- Pasukan pengurusan trafik khas yang terlatih akan ditugaskan sepanjang tempoh pembinaan dan diselia oleh pegawai pengurusan trafik.
- Makluman awal mengenai penutupan jalan akan dibuat kepada orang awam sebelum pelaksanaan.
Keselamatan Alam Sekitar dan Awam
Bagaimanakah langkah keselamatan awam dipastikan sepanjang pembinaan projek PML, terutamanya apabila kerja dijalankan berhampiran atau di bawah jalan raya serta premis komersial?
- Kami melaksanakan langkah keselamatan yang ketat bagi kerja-kerja berhampiran kawasan awam seperti pembinaan jambatan, kerja pengangkatan beban berat berhampiran jalan, pembinaan struktur sementara serta penghantaran komponen bersaiz besar.
- Langkah-langkah ini merangkumi pelan pengurusan trafik, latihan keselamatan, taklimat harian, pemeriksaan tambahan oleh perunding, serta pemasangan penghadang keselamatan di kawasan kerja.
- Kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan di tapak masing-masing, dan kami akan bekerjasama rapat dengan mereka bagi memastikan semua prosedur keselamatan dipatuhi sepanjang tempoh pembinaan.
- Pagar penghadang akan dipasang bagi menandakan dan mengasingkan kawasan kerja demi menjamin keselamatan orang awam. Penyelia keselamatan serta pasukan tindak balas kecemasan juga akan memantau dan bersiap siaga di tapak pembinaan.
- Sistem pengurusan aduan 24 jam (MRTCareline) akan diaktifkan untuk menerima maklum balas dan aduan orang awam berkaitan isu keselamatan.
Keselamatan Alam Sekitar dan Awam
Bagaimanakah saya akan dimaklumkan mengenai kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di sepanjang jajaran?
- Aktiviti pembinaan yang sedang dijalankan akan dikemas kini secara berkala melalui laman sesawang rasmi MRT Corp di mymrt.com.my serta platform media sosial rasmi MRT Corp.
- Orang awam disarankan untuk mengikuti platform rasmi MRT Corp bagi mendapatkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.
- Selain itu, pasukan Komunikasi dan Perhubungan Pihak Berkepentingan akan turut ditubuhkan oleh kontraktor. Pasukan ini akan menguruskan komunikasi dengan orang awam yang berkaitan dengan projek tersebut.
Operasi
Bilakah operasi akan bermula?
Operasi tren dijangka akan bermula pada tahun 2031.
Operasi
Apakah waktu operasi PML?
Secara tentatif, waktu operasi PML adalah dari 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Operasi
Apakah kekerapan tren?
- Tren PML akan beroperasi mengikut jadual tetap, dengan perkhidmatan yang lebih kerap semasa waktu puncak bagi menampung bilangan penumpang yang ramai.
- Kekerapan tren akan ditetapkan berdasarkan keperluan penumpang bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar dengan masa menunggu yang minimum.
- Pada peringkat awal operasi, tren dijangka tiba setiap 5 minit secara purata.
Operasi
Berapakah kadar tambang bagi perkhidmatan PML?
Kadar tambang bagi perkhidmatan PML akan ditetapkan oleh Kerajaan. Struktur tambang akan dirangka supaya berpatutan serta kompetitif berbanding mod pengangkutan awam yang lain.
Kadar sebenar akan diumumkan apabila tarikh pelancaran semakin hampir, dan usaha akan dilakukan bagi memastikan tambang yang ditetapkan mampu milik serta sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Pengambilan Tanah
Apakah prosedur yang terlibat bagi pengambilan tanah bertingkat (di atas tanah) / tanah biasa? Bilakah proses pengambilan tanah ini akan dijalankan?
a) Proses pengambilan tanah bagi projek PML akan dilaksanakan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Land Acquisition Act, LAA 1960).
b) Peringkat utama dalam proses ini adalah seperti berikut:
i. Pengenalpastian Tanah: Orang awam akan dimaklumkan mengenai kemungkinan jajaran landasan kereta api melalui
kawasan mereka.
Makluman ini akan dilaksanakan di bawah Seksyen 4 APT 1960. Warta Seksyen 4: PSR-A hingga KOMTAR – diwartakan pada
19.9.2024 dan Macallum hingga Penang Sentral – Suku Pertama (S1) 2025
Tujuan pemberitahuan ini adalah untuk memberi kebenaran kepada MRT Corp menjalankan kajian ukur tanah dan penyiasatan
tanah (soil investigation) secara terperinci di kawasan yang terlibat.
ii. Pemeriksaan Awam: Butiran kawasan yang terlibat dalam projek akan dipamerkan untuk mendapatkan maklum balas orang awam
melalui Program Pemeriksaan Awam. Maklumat mengenai program ini akan disiarkan dalam akhbar utama, laman sesawang
rasmi MRT Corp serta platform media sosial MRT Corp.
Orang awam boleh mengemukakan maklum balas melalui borang fizikal atau dalam talian. Semua maklum balas akan
direkodkan dan diteliti oleh Kerajaan sebelum senarai akhir lot tanah yang akan diambil dimuktamadkan.
Program Pemeriksaan Awam akan dijalankan selama tiga (3) bulan, dan dijangka bermula pada Suku Pertama (Q1) 2025 bagi
jajaran Macallum ke Penang Sentral. (Pemeriksaan Awam bagi jajaran PSR-A ke KOMTAR telah dijalankan oleh SRS pada tahun 2019).
iii. Pemuktamadan Lot Tanah yang Akan Diambil: Selepas semua maklum balas awam disemak, Kerajaan akan memuktamadkan lot
tanah yang akan terlibat dalam pengambilan. -PSR-A ke KOMTAR – Q1 2025, Macallum ke Penang Sentral – Q2 2025
iv. Pengisytiharan Hasrat untuk Mengambil Tanah: Notis rasmi mengenai hasrat Kerajaan untuk mengambil tanah
akan dikeluarkan kepada pemilik tanah mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960.
Notis ini merupakan pengesahan bahawa tanah tersebut akan diambil bagi tujuan projek.
PSR-A ke KOMTAR – Q1 2025, -Macallum ke Penang Sentral – Q2 2025
Bersama notis ini, pemilik tanah yang terlibat akan dijemput menghadiri sesi pendengaran tanah (land hearing) bagi membincangkan
dan memuktamadkan jumlah pampasan.
Sesi pendengaran akan diadakan dalam tempoh empat (4) minggu selepas notis dikeluarkan.
v. Pemberitahuan Anugerah Pampasan: Langkah seterusnya ialah pemberitahuan kepada pemilik tanah mengenai jumlah pampasan
yang telah ditentukan oleh Pentadbir Tanah berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Hartanah (JPPH).
Jumlah pampasan akan mengikut nilai yang telah dipersetujui semasa sesi pendengaran tanah.
– PSR-A ke KOMTAR – Q2 2025
– Macallum ke Penang Sentral – Q4 2025
vi. Pembayaran Pampasan: Pembayaran pampasan kepada pemilik tanah akan dibuat dalam tempoh dua (2) minggu hingga
satu (1) bulan selepas pemberitahuan anugerah, tertakluk kepada penerimaan dokumen lengkap daripada pemilik tanah.
Pembayaran pampasan akan bermula seperti berikut:
– PSR-A ke KOMTAR – S2 2025
– Macallum ke Penang Sentral – S4 2025
vii. Notis untuk Kosongkan Tanah (Notice to Vacate): Pemilik tanah akan diberikan tempoh sehingga enam (6) bulan daripada tarikh
notis dikeluarkan untuk mengosongkan tanah masing-masing. Pengeluaran notis untuk mengosongkan tanah akan bermula seperti berikut:
– PSR-A ke KOMTAR – S3 2025
– Macallum ke Penang Sentral – S1 2026
Proses ini akan dilaksanakan dengan cara yang adil dan berhemah, dan pertimbangan khas akan diberikan terhadap tempoh
notis berdasarkan kes tertentu.
c) Carta alir proses serta garis masa indikatif bagi rujukan mudah adalah seperti yang diperincikan di bawah:
Pemberitahuan Tanah yang Dikenal Pasti
PSR-A ke KOMTAR – Suku Keempat (Q4) 2024, Macallum ke Penang Sentral – Suku Pertama (Q1) 2025
↓
Pemeriksaan Awam (Macallum hingga Penang Sentral)
Suku Pertama (Q1) 2025
↓
Pengisytiharan Hasrat untuk Mengambil
PSR-A ke KOMTAR – Suku Pertama (Q1) 2025, Macallum ke Penang Sentral – Suku Kedua(Q2) 2025
↓
PSR-A ke KOMTAR – Suku Pertama (Q1) 2025, Macallum ke Penang Sentral – Suku Kedua(Q2) 2025
↓
PSR-A ke KOMTAR – Suku Kedua (Q2) 2025, Macallum ke Penang Sentral – Suku Kedua(Q2) 2025
↓
Pembayaran Pampasan
PSR-A ke KOMTAR – Suku Kedua (Q2) 2025, Macallum ke Penang Sentral – Suku Kedua (Q2) 2025
↓
Notis untuk Kosongkan Tanah
PSR-A ke KOMTAR – Suku Ketiga (Q3) 2025, Macallum KE Penang Sentral – Suku Pertama (Q1) 2026
Pengambilan Tanah
Bagaimanakah saya akan mengetahui sama ada tanah atau harta saya akan diambil?
- Semasa Pemeriksaan Awam (bagi jajaran Macallum hingga Penang Sentral) yang akan dijalankan selama tiga bulan bermula pada Suku Pertama (S1) 2025, butiran kawasan yang terlibat serta senarai lot tanah yang berpotensi untuk diambil akan dimaklumkan.
- Senarai tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh satu bulan selepas Pemeriksaan Awam diikuti dengan pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, di mana pemilik tanah yang terlibat akan menerima notis rasmi hasrat untuk mengambil tanah daripada Pejabat Tanah.
Pengambilan Tanah
Jika harta saya terlibat dalam pengambilan tanah, adakah pampasan akan diberikan? Berapakah jumlah pampasan yang akan saya terima? Bolehkah saya membantah jumlah pampasan tersebut?
- Pampasan bagi tanah yang diambil akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah (Land Administrator, LA) berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Hartanah (JPPH).
- Pemilik tanah yang terlibat akan dijemput untuk menghadiri sesi pendengaran tanah (land hearing) bagi membincangkan jumlah pampasan tersebut.
- Pemilik tanah juga berhak melantik penilai hartanah mereka sendiri untuk menjalankan penilaian terhadap tanah masing-masing dan mengemukakan hasil penilaian tersebut semasa sesi pendengaran.
- Sebarang bantahan atau perbincangan mengenai jumlah pampasan akan dibincangkan semasa sesi pendengaran tanah berkenaan.
Pengambilan Tanah
Apakah zon penampan bagi mereka yang tidak terlibat dengan pengambilan tanah tetapi terletak berhampiran dengan jajaran LRT yang dirancang?
Bagi projek kereta api, zon penampan ini dikenali sebagai Zon Perlindungan Rel (Railway Protection Zone, RPZ). Zon rizab pertama bagi RPZ ialah kawasan dalam jarak 6 meter dari struktur rel paling luar, dan hanya aktiviti terhad dibenarkan dijalankan di dalam kawasan ini bagi memastikan keselamatan aset serta operasi rel.
Pengambilan Tanah
Berapakah tempoh notis yang akan diberikan kepada pemilik tanah yang terjejas sebelum mereka perlu berpindah keluar?
- Pemilik tanah akan diberikan tempoh sehingga enam (6) bulan daripada tarikh notis untuk mengosongkan tanah dikeluarkan.
- Walau bagaimanapun, pelaksanaan proses ini akan dijalankan secara adil dan berhemah, serta pertimbangan khas akan diberikan terhadap tempoh notis berdasarkan kes tertentu.
Pengambilan Tanah
Bolehkah saya membantah pengambilan tanah ini?
- Projek PML merupakan projek kepentingan awam peringkat nasional yang dilaksanakan demi manfaat rakyat dan pembangunan masa hadapan negara.
- Di bawah Seksyen 3(1)(a), Akta Pengambilan Tanah 1960 (LAA 1960), Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi tujuan awam. Pemilik tanah yang terjejas akan diberikan pampasan yang adil oleh Kerajaan.
- Walau bagaimanapun, pemilik tanah dilindungi di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, di mana mereka boleh membantah jumlah pampasan yang ditawarkan dengan mengemukakan “Borang N” kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
Pengambilan Tanah
Bilakah saya akan dimaklumkan mengenai aktiviti pembinaan memandangkan rumah saya terletak berhampiran dengan jajaran tetapi tidak terlibat dengan pengambilan tanah?
Kontraktor yang dilantik akan mengadakan sesi taklimat atau libat urus bersama pihak berkepentingan yang terjejas sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani lebih awal semasa tempoh pembinaan.